2016年6月11日星期六

PERKEMBANGAN BUAH DAN BIJI KELAPA SAWIT


  • Arktikel kali ini akan terus membincangkan tentang beberapa ciri dan bahagian kelapa sawit yang mempengaruhi perkembangan pokok sawit dan bagaimana ia mempengaruhi hasil iaitu pengeluaran buah dan pengeluaran minyak mentah kelapa sawit.
  • Seperti di dalam perbincangan yang lepas, akar, batang, pelepah adalah sistem sokongan untuk penghasilan buah kelapa sawit. Manakala, bunga pula merupakan peringkat awal didalam sistem penghasilan . 
  • Dalam post ini akan dibincangkan tentang peringkat terakhir dalam sistem penghasilan iaitu biji dan buah atau tandan sawit. Buah sawit adalah merupakan hasil yang dituai dan dihantar untuk proses di mana inilah yang menentukan pulangan kepada penanam kelapa sawit.
Tandan/Buah
  • Tandan kelapa sawit mempunyai beribu ribu biji yang membentuk satu tandan.
  • Setiap biji sawit ini dilindungi oleh tisu halus yang bertindak juga seperti kulit yang dipanggil perikap. Perikap melindungi bahagian yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi iaitu
    • mesokap, yang mengandungi minyak untuk diperah.
    • Embrio/endosperma – iaitu isirong kelapa yang mengandungi minyak sawit gred tertinggi.
Biji Sawit
Keratan Rentas Biji Sawit
Keratan Rentas Biji Sawit
  • Biji sawit bewarna kehitaman dan berkilat pada peringkat muda, bertukar menjadi merah, yang menandakan ia telah masak.
  • Warna merah pada biji yang masak adalah menunjukkan peningkatan kandungan karoten.
  • Namun, disebabkan faktor semulajadi tidak semua bunga betina dapat disenyawakan, seperti yang telah diterangkan dalam posting yang lepas.
  • Bunga yang tidak disenyawakan dengan sempurna ini akan membentuk biji yang bersaiz kecil yang dipanggil partenokarpik (tiada isirung).
Ciri-ciri biji pertenokarpik
Ciri-ciri biji pertenokarpik
  • Biji sebegini sekiranya tiada tindakan diambil boleh menyebabkan kerugian yang lebih besar di masa hadapan.
  • Masa yang diperlukan dari pendebungaan sehingga tandan masak adalah 5 – 6 bulan. Tempoh ini dipengaruhi oleh faktor cuaca yang memainkan peranan penting dalam ke masakan buah.
  • Contohnya : kemarau yang panjang melewatkan proses kemasakan tandan. Purata tempoh ini di Malaysia adalah 101 – 189 hari.
  • Biji sawit yang terhasil dari setiap tandan berbeza mengikut umur. Pokok tua menghasilkan 1600 biji setandan dengan berat purata adalah 30 gram/sebiji.
  • Nisbah berat jumlah biji ke tandan adalah 50 – 65%. Ini bermaksud , sekiranya berat tandan adalah 20 kg, maka berat jumlah keseluruhan biji adalah pada 65% adalah 13kg.
  • Nilai ini mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia menentukan pulangan . Nisbah ini juga penting kerana ia bakal menentukan perahan minyak yang boleh didapati dari peraih atau kilang sawit.
  • Proses pendebungaan dianggap lengkap sekiranya 70% buah terbentuk dengan sempurna di setiap tandan. Jika dikaitkan dengan nisbah di atas, maka semakin cekap pendebungaan, semakin tinggi peratus biji ke tandan, dan semakin berat tandan tersebut.
  • Biji mulai tertanggal / terlerai dari tandan lebih kurang 140 hari selepas pendebungaan, dan biji lerai ini akan meningkat selepas 158 hari pendebungaan, iaitu tahap kemasakan optimum.
  • Untuk pokok yang tua, jumlah biji lerai setandan adalah 52 biji setandan ketika tahap kemasakan yang optimum. Selepas tahap ini jumlah biji lerai akan terus meningkat sehingga hampir semua biji akan terlerai dari tandan.
  • Faktor ini memerlukan kita untuk mengubahsuai pusingan penuaian kita agar tidak terlalu banyak biji lerai sewaktu menuai. Ini kerana, biji lerai memerlukan masa untuk dikutip, mengurangkan berat tandan dan meningkatkan kos pengawalan rumpai, kerana anak sawit liar tumbuh.
Mesokap
Nilai Ekonomi Biji Sawit
Nilai Ekonomi Biji Sawit
  • Mesokap mengandungi 76% minyak untuk satu mesokap apabila kering. Apabila tandan telah dituai, tiada lagi pembentukan minyak berlaku di dalam biji.
  • Namun begitu di dalam satu tandan tidak semua buah akan masak serentak, terutama untuk pokok yang telah tua. Buah di bahagian atas akan masak terlebih dahulu, manakala buah di bahagian bawah masih mengkal. Walaubagaimana pun, tandan ini di kira masak kerana pembentukan asid lemak (FFA-Free Fatty Acid) telah berlaku didalam biji.
  • Pembentukan asid lemak ini mulai berlaku di dalam biji yang segar dan tidak tercedera pada hari yang ke 158-161 selepas pendebungaan.
  • Komposisi utama minyak selain dari asid lemak apabila biji masak adalah :
    • 44 % asid palmitik
    • 39% asid oleik (oleic)
  • Pembentukan asid lemak ini adalah disebabkan oleh sejenis enzim lipase yang amat aktif. Ia merangsang pertukaran trigliserida dalam minyak ke asid.
  • Asid lemak ini mempunyai kepentingan dari segi ekonomi. Kenaikan asid lemak terlalu tinggi sehingga melebihi 5%, kualiti minyak sawit mentah akan menurun dan akan dikenakan penalti jualan. Ini juga melibat pulangan dari nilai eksport, yang mana negara pembeli minyak sawit mentah (MSM) akan mengenakan penalty atau menolak pembelian MSM.
  • Komposisi asid di dalam kernel adalah :
    • Asid laurik 48%.
    • Asid miristik 15%
    • Asid oleik 15%.
Pembentukan Tandan
Proses pembentukan tandan kelapa sawit.
Proses pembentukan tandan kelapa sawit.
  • Corak penghasilan untuk sepanjang hayat pokok sawit adalah :
    • Meningkat secara mendadak dari mula hasil hingga umur 7 tahun.
    • Hasil menurun selama 2 tahun.
    • Meningkat semula selama 7 tahun.
    • Selepas jangkamasa ini, hasil mulai menurun secara perlahan-lahan dimana ini mungkin disebabkan oleh kehilangan pokok , iaitu mati akibat tumbang atau penyakit dan perosak.
  • Nisbah jumlah biji ke tandan di kawasan pendalaman lebih tinggi berbanding dengan kawasan pantai, namun kandungan minyak dalam mesokap di kawasan pantai lebih tinggi.
  • Penghasilan buah adalah berbeza mengikut tempat atau lokasi, biarpun teknik pengurusan dan penyelenggaraan ladang yang sama digunakan. Namun pengurusan tanaman yang terbaik diperlukan untuk memastikan penghasilan yang optimum atau yang tertinggi boleh dicapai untuk kawasan yang berbeza.
  • Perbezaan dan kepelbagaian ini dipengaruhi oleh kesuburan tanah, cuaca/iklim dan faktor biologi.
Fasa Pembentukan Tandan
  • Jangkamasa dari pembentukan daun dan bunga adalah berbeza mengikut lokasi kerana perbezaan persekitaran.
  • Kesan persekitaran ini boleh menyebabkan kesan buruk pada beberapa peringkat pembentukan tandan, kerana ia bakal mempengaruhi jumlah tandan yang terbentuk dan berat tandan tersebut.
  • Fasa pembentukan komponen tandan pokok matang adalah seperti berikut:
    • 38 bulan sebelum tuai (BST) – Tapak bunga terbentuk
    • 24 BST – Jumlah spikelet ditentukan.
    • 22 BST – Jumlah bunga untuk setiap spikelet terbentuk; jantina bung ditentukan peringkat ini.
    • 12 BST – Bunga jantan dan betina berkembang pesat.
    • 11 BST – keguguran berlaku.
    • 8 BST – Rangka tandan mulai terbentuk.
    • 6 BST – Berlaku antesis, pendebungaan dan set tandan mulai terbentuk.
    • 5 BST – biji mulai terbentuk dengan jelas.
    • 0 BST – Tuai tandan.
  • 2 masa yang penting yang bakal menentukan potensi hasil adalah 22 dan 11 bulan sebelum tuai.
  • Kesan persekitaran ini juga menganggu kitaran penghasilan terutamanya kemarau yang berpanjangan di mana berlakunya kekurangan air. Yang menyebabkan berlakunya keguguran bunga sebelum antesis dan menganggu kitaran bunga dan pembentukan tandan.
  • Keguguran bunga menentukan jumlah bunga dan nisbah jantina. Nisbah jantina menjadi rendah ( jumlah bunga betina yang rendah). Nisbah yang rendah ini akan menganggu kitaran penghasilan kelapa sawit yang akan mepengaruhi jumlah tandan berat tandan dan seterusnya berlaku turun naik kitaran hasil.
  • Kesan kitaran ini menyebabkan hasil menjadi lebih rendah dari sebelumnya.
  • Keguguran bunga ini biasanya berlaku apabila berlakunya kemarau yang panjang ketika 13 – 14 bulan sebelum antesis (pendebungaan).
  • Keguguran bunga banyak berlaku pada pokok muda iaitu pada umur 10 – 40% dan akan berkurangan apabila umur pokok meningkat.
  • Perubahan kandungan nutrient dalam pokok akibat dari aktiviti pembentukan tandan dan buah, penyakit yang kronik dan masalah fisiologi juga akan menyebabkan berlakunya keguguran bunga yang ketara.
  • Apabila tandan mencapai kematangan, berat tandan berkait rapat dengan jumlah tandan dihasilkan.
    • Semakin banyak tandan, semakin kurang berat setandan.
    • Berat tandan meningkat seiring dengan umur pokok.
    • Pada umur 3-4 tahun, purata berat tandan (pbt) sekitar 5 -7kg/setandan.
    • Berat tandan akan meningkat ke 20kg/setandan dan lebih apabila umur pokok mencapai 20 tahun.
  • Faktor-faktor yang mempengaruhi berat tandan:
    • Pemakanan pokok (nutrient) seperti penambahan unsur K (potassium) akan meningkatkan berat tandan dalam tempoh setahun.
    • Jumlah biji sawit setandan. Jumlah buah ini ditentukan diperingkat pembentukan bunga dan berkaitan dengan kesan faktor faktor persekitaran di atas.
    • Kemarau yang panjang juga dengan serta-merta akan merendahkan berat tandan akibat kekurangan air.
Ciri-Ciri Tandan dan Buah yang berkaitan dengan kepentingan Ekonomi
  • Hasil utama kelapa sawit adalah dari tandan yang mengandungi buah-buah sawit. Ini menentukan pulangan kepada ladang sawit.
  • Terdapat dua komponen hasil:
    • Jumlah tandan dan biji yang terhasil, dituai dan dihantar untuk proses.
    • Hasil keseluruhan iaitu minyak sawit dari mesokap dan minyak isirong (kernel) yang diekstrak dari biji sawit.
  • Kuantiti hasil adalah purata berat tandan x jumlah tandan yang dihasilkan. Kuantiti amat penting kerana ia menentukan sebahagian besar kos pengeluaran.
  • Contoh : Purata berat tandan (PBT)=17 kg, Jumlah Tandan = 400. Kuantiti hasil adalah : 17kg x 400 tandan = 6800 kg @ 6.80 MT.
  • Ingin diingatkan bahawa biji lerai yang tidak dikutip sewaktu proses penuaian juga adalah antara faktor terbesar yang bakal mengurangkan purata berat tandan.
  • Komponen pengeluaran hasil dari pemprosesan adalah :
    • % jumlah berat biji sawit daripada jumlah berat tandan.
    • % jumlah minyak dalam mesokap berbanding dengan berat tandan.
    • Kuantiti minyak dalam mesokap.
    • % isirong daripada keseluruhan tandan.
Jenis-jenis biji sawit.
Kacukan biji benih kelapa sawit yang terbaik
Kacukan biji benih kelapa sawit yang terbaik
  • Benih sawit yang ada di pasaran dan yang biasa ditanam adalah hasil kacukan dua jenis iaitu DURA x PSIFERA = TENERA.
PERBEZAAN KOMPOSISI MESOKAP DAN ISIRUNG
PERBEZAAN KOMPOSISI MESOKAP DAN ISIRUNG
  • Ciri-ciri biji Dura :
    • % Mesokap di sekitar 35 – 50 %.
    • Tempurung (shell) tebal.
    • Digunakan sebagai pokok penanti, iaitu bunga betina pokok Dura.
  • Ciri-ciri Psifera :
    • Ciri utama – tiada tempurung dalam biji.
    • Terdapat gelang fiber di keliling isirong (kernel).
    • Isirong yang kecil.
    • Mesokap yang tebal, bermakna kandungan minyak yang tinggi.
    • Bunga betina tidak subur akibat sering gugur diperingkat awal pembentukan bunga.
  • Ciri-Ciri Tenera:
    • Hasil kacukan Dura x Psifera.
    • Digunakan sebagai bahan tanaman serata dunia.
    • Ketebalan tempurung sederhana – 0.5 mm – 4 mm.
    • Ciri utamanya adalah kehadiran gelang fiber hitam di sekeliling tempurung.
    • Nisbah mesokap ke biji adalah sekitar 60 – 90 %.
Pembiakbaik baka Kelapa Sawit (Plant breeding)
  • Tujuan utama pembiakbaik baka (breeding) adalah untuk mendapatkan progeni (hasil kacukan) yang mempunyai produktiviti yang tinggi, yang akan membawa kos yang rendah dan keuntungan dimaksimumkan dari keluasan tanah yang ada.
  • Namun proses ini agak perlahan kerana keputusan dari kajian hanya dapat dikenalpasti selepas 12 – 13 tahun kajian itu dimulakan.
  • Terdapat beberapa bidang yang sedang giat dijalankan, iaitu:
    • Meningkatkan perahan minyak – bergantung kepada pewarisan (genetik) pokok induk.
    • Ketahanan tanaman terhadap kemarau yang panjang dan kesusuaian dengan persekitaran di lokasi yang spesifik. Ini kerana tidak semua Tenera ini sesuai untuk semua persekitaran.
    • Peningkatan saiz isirong yang penting kerana nilai minyak isirong yang amat tinggi baik dari segi ekonomi mahupun dari nilai kesihatan.
    • Mengurangkan ketinggian pokok, kerana ini dapat memanjang hayat ekonomi kelapa sawit. Semakin tinggi pokok semakin sukar untuk dituai, dan juga meningkatkan kos.
Untuk perbincangan mengenai perkembangan buah dan biji kelapa sawit atau sebarang pertanyaan sila ke Facebook Fan Page Info Sawit – Oil Palm : One Stop Centre

没有评论:

发表评论