2017年2月27日星期一

Yamaha FZ150i – Lancar dan lebih jimat


POSTED BY HAZRIL HAFIZ ON 12 JUNE 2014
yamaha FZ150i-13
Tunggangan FZ150i lancar, selesa
Sistem suntikan bahan api bantu kecekapan
Sejujurnya, tidak terfikir oleh penulis bahawa Yamaha FZ150i adalah sebuah motosikal yang mampu menarik perhatian ramai. Kerana apabila bersembang atau terdengar perbualan ‘mat motor’, mereka lebih tertarik dengan model pesaingnya yang menggunakan enjin dua strok. Itu bagi yang gilakan kelajuan dan prestasi.
Dalam dunia sebenar, apabila menunggang FZ150i selama beberapa hari barulah penulis sedar motosikal ini ada daya tarikannya yang tersendiri. Berhenti sama ada untuk meletakkan motosikal atau di lampu isyarat, ada juga yang bersemangat mengajukan soalan untuk mengetahui lebih lanjut tentang model baharu ini.
Sebenarnya, ramai juga yang mengikuti perkembangan model ini dan tahu, model yang ditunggang oleh penulis adalah model baharu. Ada kalanya, informasi dan pengetahuan mereka tentang model ini lebih mendalam dan membuatkan penulis terfikir bahawa banyak lagi yang perlu dipelajari sebagai seorang wartawan permotoran.
‘Wajah’ lebih segar
Dari aspek penampilan, FZ150i baharu ini nampak lebih moden dan aerodinamik dengan perubahan pada bahagian perumah lampu utama, lampu belakang dan ‘fairing’ sisi. Warna yang digunakan juga nampak menyerlah.
Selain itu, melalui motosikal ini, penulis merasakan Yamaha faham apa yang diinginkan oleh pengguna. Kerana beberapa bahagian baharu yang ada sebelum ini perlu ditambah sendiri oleh pengguna model FZ150i lama. Antaranya adalah seperti penghadang enjin di bahagian bawah, perumah lampu dan cakera brek di belakang.
yamaha FZ150i-4
Ini secara langsung meningkatkan lagi nilai FZ150i bagi pengguna, ditambah dengan kecekapan enjin 149.8cc silinder tunggalnya. Penulis boleh katakan, jika anda mencari sebuah motosikal yang mengujakan dengan kelajuan tinggi, FZ150i bukan jawapannya. Lain pula ceritanya jika anda melakukan ubah suai.
Tunggang dengan mudah
Ia lebih kepada memberikan anda tunggangan yang menyenangkan. Dikatakan sebegitu kerana ia selesa dan tidak menjadi masalah untuk digunakan sebagai pengangkutan harian. Klac yang ringan pengendalian yang mudah dan getaran enjin yang lembut membuatkan anda tidak terbeban walaupun menghadapi trafik sesak di dalam bandar.
Tapi ini tidak bermakna FZ150i tidak bertenaga. Jika perlu, anda boleh memulas pendikit hingga garisan merah (10,000rpm) dan kuasa tarikan dapat dirasa cukup.
Satu lagi bahagian yang ‘membuka mata’ penulis terhadap FZ150i adalah penggunaan bahan apinya yang jimat. Selepas diisi penuh tangki 22 liternya, penulis mencatat jarak hampir 200 kilometer dan meter minyak masih menunjukkan tahap lebih daripada separuh. Itu apabila enjin pada kebanyakan masanya dikerah. Jika ditunggang dengan lebih santai, penulis menjangkakan jarak yang lebih jauh.
Ini adalah antara kelebihan yang boleh didapati dengan sistem suntikan bahan api dan pelarasan unit pengawal komputer bersesuaian pada FZ150i.
Selekoh bukan masalah
Jika anda bercadang melalui jalan lama untuk ‘melayan’ selekoh, FZ150i tetap berkemampuan. Apatah lagi, model baharu ini mempunyai tayar lebih lebar di belakang (120/70 R17) dan dilengkapi brek cakera sebagai tambahan sistem keselamatan. Dengan ini, cengkaman tayar lebih terasa dan memberi lebih keyakinan kepada penunggang.
yamaha FZ150i-7
Apapun, FZ150i ini lebih sesuai untuk mereka yang memerlukan pengangkutan efektif dengan kecekapan bahan api yang baik. Sama ada ingin bergerak sehari-hari dalam jarak pendek di bandar, pulang ke kampung di waktu cuti atau menjelajah dalam jarak yang jauh, ciri yang ada padanya tidak memeningkan kepala. -Durrani Sharom

SPESIFIKASI
Yamaha FZ150i

Enjin: 149.8cc, silinder tunggal, empat strok, SOHC, penyejuk cecair
Transmisi: Lima kelajuan
Kuasa maksimum: 16.4hp @ 8,500rpm
Tork maksimum: 14.5Nm @ 7,500rpm
Kapasiti tangki: 12 liter
Berat: 117kg
Harga: RM8,538 (tanpa insurans)

没有评论:

发表评论